BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, December 27, 2009

Hijrah ke arah penyucian hati

الحمد لله رب العالمين ، ونصلى ونسلم على سيد المرسلين

وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد :


Apabila dikatakan sebagai Hijrah, maka umat Islam seluruh dunia akan tertumpu kepada peristiwa besar Islam iaitu Hijrah Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya ke kota Madinah dengan mengorbankan segala harta benda, sanak saudara dan tanah air tercinta. Itulah merupakan hakikat Hijrah.


Perlu juga diketahui, bahawa mafhum hijrah itu tidak hanya tertumpu sahaja kepada meninggalkan tanah air dan seumpamanya. Malah, salah satu daripada hijrah yang mulia dan besar juga adalah hijrah meninggalkan kekufuran, kesyirikan, kemunafikan, dan amalan-amalan serta akhlak-akhlak yang keji lagi dilaknak oleh Allah s.w.t.


Allah s.w.t berfirman di dalam surah al-Mudathir, ayat 5,


والرجز فاهجر

Maksudnya :
Dan segala perbuatan dosa, maka wajiblah kamu tinggalkan


Merujuk kepada kitab Tafsir al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, Karangan Muhammad bin Ahmad bin Abi Bakar al-Qurtubi Rahimahullahu Ta’ala, salah seorang ahli tafsir yang terulung,  Jilid 19, Halaman 62, menjelaskan ayat ini bahawa kalimah

( الرجر ) ini berbagai-bagai pendapat para ahli tafsir di antaranya menurut Imam  Mujahid dan 'Ikrimah bahawa kalimah ini bermakna al-Awthan iaitu berhala, bagi Ibnu Abbas dan jIbrahim an-Nakhaie pula kalimah ini bermakna segala dosa, dan ada juga di kalangan para ulama tafsir pendapat mengatakan sebagai azab  berdasarkan firman Allah di dalam surah al-A’raf : “{ لئن كشفت عنا الرجز لنؤمنن لك } [ الأعراف : 134 ] bermaksud : “ sesungguhnya sekiranya kamu dapat menghilangkan azab itu dari kami, maka kami akan beriman dengan mu”


dan jika diteliti dan dihayati, bahawa kesemua pandangan ini menjelaskan bahawa setiap perkara yang tidak baik dan tidak bersesuaian dengan syariat Islam, seperti  penyembahan berhala, perbuatan maksiat dan mungkar dan amalan-amalan yang boleh mendatangkan azab, maka hendaklah kamu berhijrah dengannya iaitu wajib menjauhi perkara tersebut dan meninggalkannya di samping itu beralih atau berpindah  ke arah yang lebih baik dan yang diredhai Allah s.w.t.



Di dalam hal ini juga, Rasulullah s.a.w telah bersabda di dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Syaikhain iaitu Imam BUkhari dan Muslim,yang sanadnya daripada Amir berkata : bahawa dia telah mendengar Abuldullah bin Amru Radiyahllahu anhuma berkata, sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda :


المسلم من سلم المسلمون من لسانه ويده ، والمهاجر من هجر ما نهى الله عنه

Bermaksud :
Muslim yang sempurna itu apabila dia memelihara lidah dan tangannya daripada menyakiti orang Islam yang lain. Orang yang berhijrah itu adalah sesiapa yang berhijrah meninggalkan apa yang dilarang dan ditegah oleh Allah s.w.t


Dalam riwayat Ibnu Hibbah juga hadis yang sahih bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :


المهاجر من هجر السيئات

Bermaksud :
Al-Muhajir itu atau orang yang berhijrah itu adalah sesiapa yang meninggalkan perbuatan maksiat.


Ibnu Hajar al-Asqalani, menukilkan di dalam kitabnya Fathul Bari, JIlid 11, Halaman 319 yang mana kitab ini menghuraikan Kitab Sahih Imam Bukhari, menjelaskan mengenai pandangan para ulama di dalam hadith ini yang mengkhususkan kalimah al-muhajir di sebutkan bahawa : “


خص المهاجر بالذكر تطييبا لقلب من لم يهاجر من المسلمين لفوات ذلك بفتح مكة فأعلمهم أن من هجر ما نهى الله عنه كان هو المهاجر الكامل ويحتمل أن يكون ذلك تنبيها للمهاجرين أن لا يتكلوا على الهجرة فيقصروا في العمل

al-Muhajir atau orang yang berhijrah disebutkan khusus ( di dalam hadith ini ) bagi memberikan ketenangan kepada hati bagi mereka yang tidak sempat dan berpeluang untuk berhijrah dari kalangan orang Islam memandangkan hijrah tidak lagi disyariatkan setelah pembukaan kota Mekah. maka Rasulullah s.a.w telah memberikan khabar gembira kepada orang Islam bahawa sesiapa yang berhijrah iaitu meninggalkan perkara –perkara yang dilarang dan ditegah oleh Allah s.w.t, maka mereka itu juga dikategorikan sebagai orang yang sempurna hijrahnya, dan ada kemungkinan juga Rauslullah s.a.w berkata sedemikian sebagai memberikan peringatan kepada orang-orang muhajirin bahawa tidak hanya berbangga dengan hijrah mereka sehingga meninggalkan segala amalan kebaikan.. “


Di dalam hadis-hadis ini dan apa yang telah dijelaskan oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqalani membawa maksud dan pengertian bahawa hijrah itu bukan sahaja meninggalkan segala harta dan tanah air kita tetapi juga bermaksud meninggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah s.w.t dan Rasul-Nya. Ini merupakan satu jihad dan memerlukan satu keutuhan iman yang mantap, istiqamah yang berterusan dan keyakinan yang tinggi kepada syariat Islam.


Maksud HIjrah itu tidak akan tercapai matlamat murninya  sekiranya umat Islam hanya sekadar mengingati peristiwa ini dari sudut berbentuk peristiwa dan kisah sejarah semata-mata tanpa menghayati pengajaran dan Ibrah yang terdapat di dalamnya. Amat malang juga sekiranya peristiwa HIjrah hanya dilihat dari sudut skop yang sempit tanpa diperluaskan ke arah pembentukan insan cemerlang dari segi aqidah dan syariat.


Tika ini, sebahagian umat Islam masih lagi didapati meniru cara, akhlak dan sifat-sifat yang bukan dari syariat Islam. Amalan-amalan seperti rasuah, membudayakan amalan syirik dan khurafat, mempamerkan pakaian-pakaian yang tidak menutup aurat dan seumpamanya yang memaparkan akhlak dan ciri-ciri yang tercela dan keji serta dimurkai Allah s.w.t.  Inilah peperangan dan permainan yang diatur oleh musuh-musuh Islam yang sememangnya amat mendambakan kesesatan dan penyimpangan umat Islam dari landasan sebenar. Bagi mereka, sudah memadai meracuni idoelogi pemikian umat Islam di dalam meninggalkan  dan menjarakan sedikit demi sedikit ajaran atau syariat Islam. Natijahnya, orang -orang Islam seperti ini akan tersungkur dan masuk ke perangkap mereka. والعياذ بالله


Oleh itu, marilah kita sama-sama menjadikan peristiwa hijrah ini sebagai satu anjakan dan manhaj kehidupan kita agar kita menjadi insan yang sentiasa bertakwa kepada Allah dengan melaksanakan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan. Sama-sama kita menghayati firman Allah di dalam surah al-Anfal , ayat 74 :


والذين ءامنوا وهاجروا وجهدوا في سبيل الله والذين ءاووا ونصروا

 أولئك هم المؤمنون حقا لهم مغفرة ورزق كريم


Bermaksud :

Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah, dan orang-orang yang memberi tempat kediaman dan memberi pertolongan ( kepada orang-orang muhajirin ) , mereka itulah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperoleh keampunan dan rezeki ( nikmat ) yang mulia


وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين



0 comments: