BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, December 31, 2009

Fakta Penting Mengenai Gerhana Bulan

- Kejadian gerhana adalah merupakan satu fenomena kejadian alam yang menunjukkan kebesaran dan keagungan Allah s.w.t sesuai dengan Hadith Rasulullah s.a.w sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari [ 983/986 dan selainnya dengan lafaz yang berbeza ] dan Imam Muslim [ 1512 ]


إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَا يَخْسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلَا لِحَيَاتِهِ فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ فَاذْكُرُوا اللَّهَ


"Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda dari tanda-tanda kebesaran Allah, keduanya tidak berlaku ( semasa gerhana ) kerana matinya seseorang atau menunjukkan hidupnya seseorang, maka apabila kamu melihat fenomena atau kejadian tersebut maka hendaklah kamu berzikir kepada Allah [ dengan bersembahyang dan berdoa ] kepada Allah"


dalam lafaz yang lain, Rasulullah menyebutkan  [ Bukhari : 1000, Muslim : 1522 dengan lafaz berbeza ]


 فَإِذَا رَأَيْتُمُوهُمَا فَادْعُوا اللَّهَ وَصَلُّوا حَتَّى يَنْجَلِيَ


"maka apabila kamu melihat kejadian tersebut ( gerhana matahari dan bulan) maka berdoalah kepada Allah dan bersembahyang sehingga tersingkap semula bagi kamu"



* Gerhana bulan di dalam bahasa arab dipanggil sebagai khusuf الخسوف , berlaku pada waktu malam



* disyariatkan pada tahun kelima hijrah


* Sembahyang gerhana : Sunat Muakkad


* disunarkan melakukan secara berjemaah


* cara bersembahyang ;


  3 cara ;


1.    Yang terlebih sempurna : 2 rakaat dengan setiap rakaat 2 qiyam dan 2 ruku' yang dipanjangkan bacaan surah dan tasbihnya pada kedua-dua rakaat (Kesimpulannya: jumlah ruku’, qiyam dan sujud adalah sebanyak 4 kali dalam dua rakaat solat sunat gerhana).  


       Ini adalah cara yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. bersama para sahabatnya dan melibatkan masa yang amat panjang.   


       Rakaat pertama : 
       Qiyam pertama : selepas membaca fatihah, dibaca surah al-Baqarah atau kadar panjang dengan surat al-Baqarah  ( 286 ayat) , Ruku'  : kadar panjang anggaran 100 ayat

       Qiyam kedua : selepas membaca fatihah, dibaca surah kadar ayat 200 ayat , Ruku' : kadar panjang anggaran 80 ayat

        rakaat kedua  : 
       Qiyam ketiga : selepas fatihah, panjangnya kadar 150 ayat, Ruku' : kadar 70 ayat

       Qiyam keempat :  selepas fatihah, dibaca panjang kadar 100 ayat dari surah al-baqarah, Ruku': kadar 50 ayat

       [ dinaqalkan daripada al-Khatib bahawa Imam al-Buwaithi menyatakan bahawa bagi qiyam ke 2 di baca surah ali Imran atau kadar panjang ayat surah tersebut, qiyam ke3 di baca surah al-Nisa' atau kadar panjang ayat surah tersebut , pada qiyam ke4 di baca surah al-Maidah atau kadar panjang ayat dalam surah tersebut . ( Kitab al-Iqna, al-Khatib : 1/393 ] 
      
2.    dilakukan 2 rakaat dengan 2 kali qiyam dan 2 kali ruku', dengan tidak dipanjangkan bacaan pada kedua-dua rakaat.  Ini adalah cara yang sederhana dan tidak memakan masa yang lama.
 
3.  Sekurang-kurangnya 2 rakaat seperti solat sunat biasa.


* Gerhana bulan dibaca secara jahr ( jelas ) sedangkan gerhana mahatari secara sirr (diperlahankan suara )


* Membaca khutbah gerhana selepas sembahyang sunat gerhana - [ menyeru manusia agar  bertaubat dan melakukan amal soleh serta mengingatkan manusia dari leka dan lalai dengan tanggungjawab sebagai khalifah dan seumpamanya ]


* disunatkan mandi bagi solat gerhana


* tidak disyariatkan untuk qada' jika luput waktunya


Wallahu Alam

Rujukan : 
al-Iqna, al-Sheikh Muhammad al-Khatib al-Syarbini, Jilid 1, Halaman 393, Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut Lebnon

al-Fiqh al-Manhaji 'Ala Mazhab al-Imam al-Syafi'e , Dr. Mustofa al-Khin, Dr. Mustofa Al-Bugho dan Ali Asy-Syarbaji, Jilid 1, Halaman 240-243, Dar al-Qalam, Damsyiq 
















Gerhana Bulan

"Fenomena gerhana bulan separa dijangka berlaku Jumaat ini 1 Jan 2010 bersamaan dengan 15 Muharam 1431H bermula pukul 1.17 pagi hingga 5.28 pagi waktu tempatan.

Menurut kenyataan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini, gerhana akan bermula dengan fasa penumbra pada pukul 1.17 pagi dan mencapai tahap gerhana maksimum pada pukul 3.24 pagi.

“Gerhana ini dijangka berakhir pada pukul 5.28 pagi. Gerhana yang jelas hanya dapat dilihat apabila bulan memasuki bayang umbra bumi iaitu dari pukul 2.53 pagi sehingga gerhana maksimum,” kata kenyataan itu.

Sehubungan fenomena itu, masyarakat Islam digalakkan menunaikan solat sunat khusuf atau solat sunat gerhana bulan yang disertai dengan khutbah khas gerhana bulan, bersempena dengan kejadian gerhana bulan itu.

Ekoran gerhana yang berlaku semasa cuti sambutan tahun baru 2010, orang ramai dijemput hadir bagi menyaksikan fenomena alam semula jadi itu dan turut serta menunaikan solat sunat khusuf yang akan diadakan di Masjid Negara.

“Program yang merupakan anjuran bersama Masjid Negara, Jakim dan Agensi Angkasa Negara itu bertujuan meningkatkan tahap keimanan masyarakat Islam,” kata Jakim. – Bernama

Hayati isi kandungan





Hayati isi kandungan yang dibacakan oleh Syeikh al-Afasi ;

[19] Dan (ingatlah) hari dihimpun musuh-musuh Allah untuk dibawa ke neraka, lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanannya masing-masing.

[20] Sehingga apabila mereka sampai ke neraka, (maka) pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan mereka menjadi saksi terhadap mereka, mengenai apa yang mereka telah kerjakan.

[21] Dan (setelah berlaku yang demikian), berkatalah mereka kepada kulit-kulit badan mereka: "Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?" Kulit-kulit badan mereka menjawab: "Allah yang berkuasa menjadikan tiap-tiap sesuatu pandai berkata-kata - telah menjadikan kami dapat berkata-kata; dan Dia lah yang menciptakan kamu pada mulanya, dan kepadaNyalah kamu dikembalikan (untuk menerima balasan).

[22]"Dan semasa kamu berselindung (ketika melakukan dosa di dunia dahulu) bukanlah kerana kamu bimbangkan pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan kamu menjadi saksi terhadap perbuatan-perbuatan kamu yang berdosa itu, akan tetapi kerana kamu menyangka bahawa Allah tidak mengetahui kebanyakan dosa yang kamu lakukan (secara bersembunyi itu).

[23] "Dan sangkaan kamu yang demikian, yang kamu sangka terhadap Tuhan kamu, itulah yang telah membinasakan kamu; (dengan sangkaan kamu yang salah itu) maka menjadilah kamu dari orang-orang yang rugi!"

[24] Oleh itu, sama ada mereka bersabar menderita azab atau sebaliknya (maka sama sahaja) kerana nerakalah tempat tinggal mereka; dan jika mereka memohon peluang untuk mendapat keredaan Allah, maka mereka bukanlah lagi dari orang-orang yang diterima permohonannya.

[25] Dan Kami adakan untuk mereka teman-teman rapat (dari jin dan manusia), lalu teman-teman itu memperhiaskan kepada mereka (fahaman-fahaman sesat) mengenai perkara-perkara dunia yang ada di hadapan mereka, serta perkara-perkara akhirat yang ada di belakang mereka; dan (dengan sebab itu) tetaplah hukuman (azab) atas mereka bersama-sama dengan umat umat (yang sesat) dari jin dan manusia yang terdahulu daripada mereka. Sesungguhnya mereka semuanya adalah golongan yang rugi (bawaan hidupnya).

[26] Dan orang-orang yang kafir berkata: "Janganlah kamu mendengar Al-Quran ini dan tentanglah dia (dengan nyayian-nyanyian dan jeritan-jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (mengganggu bacaan atau menenggelamkan suara pembacanya)!"

[27]Maka, demi sesungguhnya! Kami akan merasakan orang-orang yang kafir itu azab seksa yang seberat-beratnya, dan Kami akan membalas mereka dengan seburuk-buruk balasan bagi apa yang mereka telah kerjakan.

[28] Demikianlah keadaannya balasan musuh-musuh Allah iaitu neraka; disediakan untuk mereka tempat tinggal yang kekal didalamnya, sebagai balasan bagi perbuatan mereka sentiasa mengingkari ayat-ayat Kami.

[29] Dan orang-orang yang kafir berkata: "Wahai Tuhan kami! Perlihatkanlah kepada kami dua golongan yang telah menyesatkan kami dari jin dan manusia, untuk kami meletakkan mereka di bawah tapak kaki kami, supaya mereka menjadi golongan yang terkebawah dalam kehinaan".

[30] Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.

[31] "Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh - pada hari akhirat - apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh - pada hari itu - apa yang kamu cita-citakan mendapatnya.

[32] "(Pemberian-pemberian yang serba mewah itu) sebagai sambutan penghormatan dari Allah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani!"

[33] Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!"

[34] Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.

[35] Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat.

[36] Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia lah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

terjemahan dinukil dari laman : http://www.iiu.edu.my/deed/quran/malay/

الله أكبر ، الله أكبر ، الله أكبر

Ya Allah, Jadikanlah kami dari kalangan hambaMu yang menerima khabar gembira di akhirat kelak, Teguhkan iman dan istiqamah kami di dalam melaksanakan amal ibadah kepadaMu, tanamkan dihati kami di kalangan mereka yang cintakan agamamu, mempertahankan syariatmu, meninggikan syiarMu di muka bumi ini.
 
Ya Allah tempatkan kami bersama kalangan para al-Anbiya, al-Siddiqin, al-Syuhada dan al-Solihin..mereka inilah sebaik-baik teman


Ya Allah, jauhilah kami dari hasutan iblis dan kuncu-kuncu yang sentiasa membawa manusia ke lembah kesesatan dan kemungkaran..hindarilah kami dari bisikannya yang sentiasa membawa keraguan kepada manusia..sesungguhnya Engkaulah yang MAHA MENDENGAR lagi MAHA MENGETAHUI.


Amin Ya Rabbal 'alamin




Wednesday, December 30, 2009

Petikan Khutbah Jumaat

 
“PETUNJUK  PRESTASI UTAMA (KPI) IBU BAPA MENDIDIK ANAK”
( 01 JANUARI 2010 / 15 MUHARRAM 1431H )
 

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Kita baru sahaja selesai menyambut Maal Hijrah iaitu tahun baru Islam 1431H dan hari ini pula kita mulai menempuh tahun baru 2010 Masehi. Bagi menentukan perancangan dan pelaksanaan aktiviti tahun baru kita diredhai Allah. Maka marilah kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kepada Allah S.W.T dengan menunaikan segala perintahnya dan menjauhi segala larangannya. Mudah-mudahan kehidupan kita dilimpahi rahmat dan kesejahteraannya. Mimbar hari ini akan membincangkan khutbah bertajuk : “Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Ibu Bapa Mendidik Anak”.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Pada akhir tahun dan awal tahun kebiasaannya pihak sekolah dan ibu bapa menjadi pihak yang paling sibuk kerana terlibat dalam urusan pendidikan. Menurut sumber Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 2009 terdapat 5.4 juta orang pelajar di sekolah rendah dan sekolah menengah. Sementara itu pula, menurut sumber Kementerian Pengajian Tinggi pada sesi 2009/2010 yang lalu sebanyak 139,207 orang pelajar membuat permohonan untuk memasuki Institut Pengajian Tinggi Awam bagi memenuhi kekosongan berjumlah 68,084 tempat untuk program Ijazah dan 40,500 tempat untuk program Diploma di seluruh negara. Perangkaan ini memberi cabaran yang besar kepada ibu bapa dan anak-anak kita dalam merebut peluang pengajian.

Sebagaimana kita ketahui bahawa matlamat utama pengurusan pendidikan adalah untuk melihat manusia sebagai modal yang dinamakan modal insan dan merupakan aset tenaga yang sungguh penting dan bermakna kepada kegiatan ekonomi, pembangunan negara mahu pun kemajuan bangsa dan negara. Modal ini perlu digilap, dibangunkan dan diuji bagi menentukan kemampuan sebelum dimanfaatkan. Kualiti hidup tidak sahaja diukur daripada memiliki ijazah dari dalam dan luar negara tetapi diukur juga dengan kekuatan akhlak dan peribadi yang menampilkan nilai kemanusiaan yang tinggi.

Dalam usaha membentuk modal insan yang berkualiti, maka kecemerlangan bidang pendidikan tidak hanya diberikan oleh pihak sekolah bahkan ia bergantung kepada ibu bapa di rumah. Kedua-dua institusi ini iaitu rumahtangga dan sekolah saling memerlukan dalam menentukan kecemerlangan anak-anak. Firman Allah dalam surah at-Tahrim ayat 6:


Maksudnya:” Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu api Neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; Penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan”.

Keluarga adalah asas menentukan dasar pembinaan akhlak anak. Bila tumpuan ibu bapa terhadap keluarga berkurangan, maka kadar keciciran anak-anak semakin meningkat. Anak pada peringkat awal pembesaran dan pendewasaan memerlukan ibu bapa sebagai orang terawal penunjuk jalan teladan yang baik. Menurut prinsip pendidikan Islam, saat kritikal dalam proses membina teras nilai murni, akhlak mulia, kasih sayang dan komunikasi yang mesra sebenarnya bermula dari dalam perut ibu lagi sehinggalah anak itu mencapai akil baligh. Dengan demikian mimbar menasihatkan jemaah dan ibu bapa sekalian bahawa dalam tempoh kritikal ini, ibu bapa tidak boleh melepaskan diri dalam mendidik anak-anak walau apa jua sekalipun.

Jika kita tidak mengambil berat, maka anak-anak akan terdedah dengan gejala rosak akidah, hilang kemulian akhlak dan maruah juga ketinggalan dalam pendidikan. Kita tidak mahu anak-anak menjadi keliru, tidak tahu memilih yang baik atau yang buruk dalam kehidupan mereka.

Menurut Yusuf al-Qardawi, Tokoh Maal Hijrah 1431H bahawa kesan yang paling menonjol akibat kelemahan kualiti keibubapaan hari ini adalah terpisahnya atau tercabutnya akhlak anak-anak yang memudahkan dan mendedahkan mereka dalam krisis gejala sosial.

Satu kisah pada zaman Rasulullah SAW, seorang sahabat yang berjemaah bersama baginda kerap keluar dari jemaah awal sebelum sempat berdoa. Baginda bertanyakan kenapa balik tergesa-gesa sebelum sempat berdoa. Sahabat itu menerangkan dia mempunyai anak kecil yang ibunya baru meninggal dunia. Dia takut anaknya mengambil dan memakan buah tamar jiran yang gugur di halaman rumahnya dan ditakuti akan menjadi darah dagingnya. Sahabat itu menjelaskan daging yang disuburkan dari benda yang haram itu tidak layak masuk syurga. Mendengarkan penjelasan itu, baginda terdiam dan tidak berkata apa-apa, hanya memperhatikannya sahaja dia pulang ke rumah.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Pencapaian prestasi anak-anak kita dalam pelajaran bergantung kepada perancangan dan penilaian bersungguh-sungguh ibu bapa sendiri. Dalam menjamin keberkesanan fungsi ibu bapa menentukan kejayaan pendidikan anak-anak, maka sukacita mimbar menasihatkan ibu bapa sekalian menetapkan sekurang-kurangnya 6 petunjuk prestasi utama atau KPI ibu bapa seperti berikut:

Pertama: Memastikan anak-anak menunaikan solat fardhu 5 kali sehari sama ada secara berjemaah atau bersendirian,
Kedua:  Memastikan anak-anak mempelajari dan memahami al-Quran setiap hari,
Ketiga: Memastikan anak-anak mendapat makanan halal, berzat dan memenuhi keperluan vitamin setiap hari,
Keempat: Menyemak buku-buku latihan dan kerja setiap mata pelajaran sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu,
Kelima: Menetapkan sasaran setiap mata pelajaran anak sekurang-kurangnya mencapai 80%, dan
Keenam: Mengadakan perjumpaan dengan guru kelas sekurang-kurangnya sekali dalam setiap semester atau penggal bagi mendapat maklumbalas prestasi pembelajaran anak-anak.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Ibu bapa cemerlang adalah mereka yang berjaya meletakkan generasi pewaris berjaya membentuk modal insan yang berkualiti soleh.

Maksudnya: “Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Ia hendak mengujimu pada apa yang dikurniakan-Nya kepadamu. Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat azab seksa-Nya, dan sesungguhnya Ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-An’am: 165)

Teks Khutbah penuh boleh didapati di dalam laman web JAKIM : http://www.islam.gov.my/khutbahjakim/



Tuesday, December 29, 2009

Dengar dan hayati

Sunday, December 27, 2009

Hijrah ke arah penyucian hati

الحمد لله رب العالمين ، ونصلى ونسلم على سيد المرسلين

وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد :


Apabila dikatakan sebagai Hijrah, maka umat Islam seluruh dunia akan tertumpu kepada peristiwa besar Islam iaitu Hijrah Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya ke kota Madinah dengan mengorbankan segala harta benda, sanak saudara dan tanah air tercinta. Itulah merupakan hakikat Hijrah.


Perlu juga diketahui, bahawa mafhum hijrah itu tidak hanya tertumpu sahaja kepada meninggalkan tanah air dan seumpamanya. Malah, salah satu daripada hijrah yang mulia dan besar juga adalah hijrah meninggalkan kekufuran, kesyirikan, kemunafikan, dan amalan-amalan serta akhlak-akhlak yang keji lagi dilaknak oleh Allah s.w.t.


Allah s.w.t berfirman di dalam surah al-Mudathir, ayat 5,


والرجز فاهجر

Maksudnya :
Dan segala perbuatan dosa, maka wajiblah kamu tinggalkan


Merujuk kepada kitab Tafsir al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, Karangan Muhammad bin Ahmad bin Abi Bakar al-Qurtubi Rahimahullahu Ta’ala, salah seorang ahli tafsir yang terulung,  Jilid 19, Halaman 62, menjelaskan ayat ini bahawa kalimah

( الرجر ) ini berbagai-bagai pendapat para ahli tafsir di antaranya menurut Imam  Mujahid dan 'Ikrimah bahawa kalimah ini bermakna al-Awthan iaitu berhala, bagi Ibnu Abbas dan jIbrahim an-Nakhaie pula kalimah ini bermakna segala dosa, dan ada juga di kalangan para ulama tafsir pendapat mengatakan sebagai azab  berdasarkan firman Allah di dalam surah al-A’raf : “{ لئن كشفت عنا الرجز لنؤمنن لك } [ الأعراف : 134 ] bermaksud : “ sesungguhnya sekiranya kamu dapat menghilangkan azab itu dari kami, maka kami akan beriman dengan mu”


dan jika diteliti dan dihayati, bahawa kesemua pandangan ini menjelaskan bahawa setiap perkara yang tidak baik dan tidak bersesuaian dengan syariat Islam, seperti  penyembahan berhala, perbuatan maksiat dan mungkar dan amalan-amalan yang boleh mendatangkan azab, maka hendaklah kamu berhijrah dengannya iaitu wajib menjauhi perkara tersebut dan meninggalkannya di samping itu beralih atau berpindah  ke arah yang lebih baik dan yang diredhai Allah s.w.t.



Di dalam hal ini juga, Rasulullah s.a.w telah bersabda di dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Syaikhain iaitu Imam BUkhari dan Muslim,yang sanadnya daripada Amir berkata : bahawa dia telah mendengar Abuldullah bin Amru Radiyahllahu anhuma berkata, sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda :


المسلم من سلم المسلمون من لسانه ويده ، والمهاجر من هجر ما نهى الله عنه

Bermaksud :
Muslim yang sempurna itu apabila dia memelihara lidah dan tangannya daripada menyakiti orang Islam yang lain. Orang yang berhijrah itu adalah sesiapa yang berhijrah meninggalkan apa yang dilarang dan ditegah oleh Allah s.w.t


Dalam riwayat Ibnu Hibbah juga hadis yang sahih bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :


المهاجر من هجر السيئات

Bermaksud :
Al-Muhajir itu atau orang yang berhijrah itu adalah sesiapa yang meninggalkan perbuatan maksiat.


Ibnu Hajar al-Asqalani, menukilkan di dalam kitabnya Fathul Bari, JIlid 11, Halaman 319 yang mana kitab ini menghuraikan Kitab Sahih Imam Bukhari, menjelaskan mengenai pandangan para ulama di dalam hadith ini yang mengkhususkan kalimah al-muhajir di sebutkan bahawa : “


خص المهاجر بالذكر تطييبا لقلب من لم يهاجر من المسلمين لفوات ذلك بفتح مكة فأعلمهم أن من هجر ما نهى الله عنه كان هو المهاجر الكامل ويحتمل أن يكون ذلك تنبيها للمهاجرين أن لا يتكلوا على الهجرة فيقصروا في العمل

al-Muhajir atau orang yang berhijrah disebutkan khusus ( di dalam hadith ini ) bagi memberikan ketenangan kepada hati bagi mereka yang tidak sempat dan berpeluang untuk berhijrah dari kalangan orang Islam memandangkan hijrah tidak lagi disyariatkan setelah pembukaan kota Mekah. maka Rasulullah s.a.w telah memberikan khabar gembira kepada orang Islam bahawa sesiapa yang berhijrah iaitu meninggalkan perkara –perkara yang dilarang dan ditegah oleh Allah s.w.t, maka mereka itu juga dikategorikan sebagai orang yang sempurna hijrahnya, dan ada kemungkinan juga Rauslullah s.a.w berkata sedemikian sebagai memberikan peringatan kepada orang-orang muhajirin bahawa tidak hanya berbangga dengan hijrah mereka sehingga meninggalkan segala amalan kebaikan.. “


Di dalam hadis-hadis ini dan apa yang telah dijelaskan oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqalani membawa maksud dan pengertian bahawa hijrah itu bukan sahaja meninggalkan segala harta dan tanah air kita tetapi juga bermaksud meninggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah s.w.t dan Rasul-Nya. Ini merupakan satu jihad dan memerlukan satu keutuhan iman yang mantap, istiqamah yang berterusan dan keyakinan yang tinggi kepada syariat Islam.


Maksud HIjrah itu tidak akan tercapai matlamat murninya  sekiranya umat Islam hanya sekadar mengingati peristiwa ini dari sudut berbentuk peristiwa dan kisah sejarah semata-mata tanpa menghayati pengajaran dan Ibrah yang terdapat di dalamnya. Amat malang juga sekiranya peristiwa HIjrah hanya dilihat dari sudut skop yang sempit tanpa diperluaskan ke arah pembentukan insan cemerlang dari segi aqidah dan syariat.


Tika ini, sebahagian umat Islam masih lagi didapati meniru cara, akhlak dan sifat-sifat yang bukan dari syariat Islam. Amalan-amalan seperti rasuah, membudayakan amalan syirik dan khurafat, mempamerkan pakaian-pakaian yang tidak menutup aurat dan seumpamanya yang memaparkan akhlak dan ciri-ciri yang tercela dan keji serta dimurkai Allah s.w.t.  Inilah peperangan dan permainan yang diatur oleh musuh-musuh Islam yang sememangnya amat mendambakan kesesatan dan penyimpangan umat Islam dari landasan sebenar. Bagi mereka, sudah memadai meracuni idoelogi pemikian umat Islam di dalam meninggalkan  dan menjarakan sedikit demi sedikit ajaran atau syariat Islam. Natijahnya, orang -orang Islam seperti ini akan tersungkur dan masuk ke perangkap mereka. والعياذ بالله


Oleh itu, marilah kita sama-sama menjadikan peristiwa hijrah ini sebagai satu anjakan dan manhaj kehidupan kita agar kita menjadi insan yang sentiasa bertakwa kepada Allah dengan melaksanakan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan. Sama-sama kita menghayati firman Allah di dalam surah al-Anfal , ayat 74 :


والذين ءامنوا وهاجروا وجهدوا في سبيل الله والذين ءاووا ونصروا

 أولئك هم المؤمنون حقا لهم مغفرة ورزق كريم


Bermaksud :

Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah, dan orang-orang yang memberi tempat kediaman dan memberi pertolongan ( kepada orang-orang muhajirin ) , mereka itulah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperoleh keampunan dan rezeki ( nikmat ) yang mulia


وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين



Friday, December 25, 2009

Persoalan Puasa 'Asyura

S : Bolehkah berpuasa pada 10 Muharram sahaja tanpa berpuasa sehari sebelumnya atau selepasnya ?

J : Alhamdulillah, dikemukakan pandangan Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullahu Ta'ala di dalam kitabnya "Tuhfatu al-Muhtaj 'ala Syarh al-Minhaj" Jilid 14, Halaman 80 menyatakan bahawa tiada halangan sekiranya ia berpuasa hanya pada 10 muharram sahaja. Wallahu' Alam

S. Bagaimana seseorang itu ingin berpuasa pada 10 muharram sahaja tetapi 10 muharram jatuh pada hari Jumaat atau sabtu sedangkan terdapat hadith mengenai larangan berpuasa hari jumaat atau hari sabtu tanpa diselangi dengan puasa sebelumnya atau selepasnya atau puasa yang melibatkan fardhu, qada' nazar dan seumpamanya ?

J. Alhamdulillah, sekiranya 10 muharram itu jatuh pada hari jumaat atau sabtu, maka tiada halangan bagi seseorang itu untuk menunaikan puasa sunat pada hari tersebut walaupun ia hanya berpuasa pada hari jumaat sahaja atau sabtu. Hadith larangan yang dimaksudkan itu berkaitan puasa sunat yang tidak mempunyai sebarang sebab tertentu atau tidak menjadi satu amalan kebiasaan bagi dirinya ( berpuasa sehari dan berbuka sehari) . [ mohon rujuk kitab Tuhfah al-Muhtaj 'Ala Syarh al-Minhaj, Jilid 14, Halaman 87 ] Wallahu 'Alam

Thursday, December 24, 2009

Puasa 'Asyura

Wahai muslimin sekelian, marilah kita memeriahkan bulan Muharram ini dengan berpuasa pada hari tasua' ( ke 9 dalam bulan muharram ) dan hari 'asyura ( ke 10 dalam bulan Muharram ) . sesungguhnya fadhilatnya amat besar jika kita mengetahuinya. Rasulullah s.a.w telah memaklumkan melalui hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim ;

صيام يوم عاشوراء، إني أحتسب على الله أن يكفر السنة التي قبله

" berpuasa di hari 'asyura sesungguhnya aku mengharapkan dari Allah agar menebuskan dosa setahun yang lalu ( dengan berpuasa hari asyura )

Maka, rebutlah peluang yang berharga ini yang lebih berharga dari wang ringgi, harta bertimbun rimbun dan seisi dunia. Para ulama menyatakan bahawa disunatkan juga bagi kita berpuasa pada hari ke sembilan daripada bulan Muharram. Hal ini berasaskan kepada sebuah Hadith Sahih diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abdullah bin Abbas Radhiyallahu 'anhuma ;


حِينَ صَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّهُ يَوْمٌ تُعَظِّمُهُ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "فَإِذَا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ صُمْنَا الْيَوْمَ التَّاسِعَ".

ketika mana Rasulullah s.a.w berpuasa pada hari 'asyura dan telah menyuruh ( kami ) berpuasa pada hari tersebut, Para sahabat bertanya kepada Rasulullah s.a.w : " Ya Rasulullah, sesungguhnya hari ini ( 10 Muharram ) merupakan hari yang diagungkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani, Maka berkata Rasululullah s.a.w ;" Jika tahun hadapan aku masih hidup jika dizinkan Allah kita berpuasa pada hari ke sembilan.

Namun, tahun depan yang diimpilkan oleh Rasulullah s.a.w tidak kesampaian memandangkan Rasulullah s.a.w telah wafat sebelum sempat berpuasa pada 09 Muharram. Para ulama telah menyatakan bahawa puasa hari ke sembilan dari bulan muharram juga adalah sunat. [ Imam Nawawi, Penjelasan hadith sahih Muslim 4/121 ]


Imam Nawawi Rahimahullahu Ta'ala juga menjelaskan bahawa di antara sebab disunatkan berpuasa pada hari kesembilan dari bulan Muharram ;

1. tidak menyerupai kaum Yahudi dan Nasrani
2. langkah berhati-hati mengenai ketentuan hari tersebut samada hari ke 9 atau ke 10 ,[berkemungkinan ada kekurangan bulan semasa penentuan anak bulan hilal muharram ] dengan berpuasa kedua-dua hari maka hari ke 10 atau asyura pasti akan tercapai dan diperolehi.

Kemudian Imam Nawawi menyatakan bahawa sebab pertama lebih jelas berasaskan hadith sahih. Wallahu alam . [ Imam Nawawi, Penjelasan Hadith Sahih Muslim 4/121 ]




Tuesday, December 22, 2009

Kalimah 'Asyura

Asyura’ ( عاشوراء ) dan tasua’ ( تاسوعاء ) dikategorikan sebagai Ismani Mamdudani اسمان ممدودان

[iaitu Isim atau kata nama yang diakhiri dengan huruf hamzah dan sebelumnya ( huruf hamzah ) adalah huruf alif zaidah atau alif tambahan seperti kalimah صحراء، سماء dan seumpamanya ].

Hari Asyura’ ( عاشوراء ) itu adalah hari kesepuluh dalam bulan Muharram dan tasua’ ( تاسوعاء ) pula hari yang kesembilan dalam bulan Muharram. [ Al-Nawawi, Kitab al-Majmuk, Jilid 6, Halaman 383 ]


Sejarah 'Asyura

Sejarah 'Asyura
di dalam Hadith Rasulullah صلى الله عليه وسلم


عن ابن عباس رضي الله عنهما قال: قدم النبي صلى الله عليه وسلم المدينة فرأى اليهود تصوم يوم عاشوراء فقال: «مَا هَذَا قَالُوا هَذَا يَوْمٌ صَالِحٌ، هَذَا يَوْمٌ نَجَّى اللَّهُ بَنِي إِسْرَائِيلَ مِنْ عَدُوِّهِمْ فَصَامَهُ مُوسَى، قال: فَأَنَا أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْكُمْ فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ»

Daripada Ibnu Abbas Radhiyallahu 'Anhuma berkata : Nabi صلى الله عليه وسلم telah datang ke Madinah, maka ia melihat Yahudi berpuasa pada hari asyura iaitu hari 10 Muharram, maka Rasulullah صلى الله عليه وسلم berkata : " hari apakah ini ? maka mereka berkata : inilah hari yang baik[ agung ] , di mana pada hari tersebut Bani Israil telah diberikan kemenangan ke atas musuh mereka, maka Nabi Musa Alaih al-Salam berpuasa, maka Rasulullah صلى الله عليه وسلم berkata ; Maka kami lebih selayaknya mengikuti Nabi Musa dari kamu, maka Rasulullah صلى الله عليه وسلم berpuasa pada hari itu dan memerintahkan umatnya berpuasa.
[ riwayat Imam Bukhari, [ 1865 ] bab puasa di hari Asyura]

Dalam riwayat Imam Muslim ; "
هذا يوم عظيم أنجى الله فيه موسى وقومه وغرّق فرعون وقومه

"inilah hari yang agung di mana Allah s.w.t telah menyelamatkan pada hari tersebut Nabi Musa dan kaumnya dan menenggelamkan Fir'aun dan kaumnya"
[ riwayat Imam Muslim [1911], bab puasa hari asyura' ]


dan di dalam riwayat Imam Bukhari disebutkan bahawa puasa ini dilakukan bagi merafa'kan atau menadahkan kesyukuran pada Allah s.w.t
ونحن نصومه تعظيماً له

" dan kami berpuasa bagi memartabatkan atau mengagungkan hari tersebut [ 10 Muharram ] .

Kemudian Rasulullah صلى الله عليه وسلم memerintahkan kepada sahabatnya untuk berpuasa, dalam lafaz yang lain dalam riwayat Imam Bukhari dinyatakan lafaznya ;

فقال لأصحابه: أنتم أحق بموسى منهم فصوموا

Maka berkata Rasulullah صلى الله عليه وسلم kepada para sahabatnya ; " Kamu lebih selayaknya mengikuti Musa daripada mereka, maka hendaklah kamu berpuasa.
[ riwayat Imam Bukhari, [ 4312 ] ]